Selasa, 19 Mac 2013

Program Perpustakaan Bergerak ~ "Maghi Pakak Pinjang Buku @ Teratak Cendekiawan"


Perpustakaan Cendekiawan, UiTM (Terengganu) sekali lagi akan menganjurkan Perpustakaan Bergerak yang akan diadakan di Ruang bersebelahan Unit Ko-Kurikulum, Bahagian Hal Ehwal Pelajar (HEP), UiTM (Terengganu).

Objektif:   
a. Mendekatkan perpustakaan dengan staf bukan akademik
b. Menggalakkan aktiviti pinjaman buku dikalangan staf bukan akademik
c. Menggalakkan budaya membaca di kalangan staf
d. Meningkatkan kesedaran mengenai ilmu pengetahuan dan pembelajaran sepanjang hayat.

Program seumpama ini adalah kali ke-2 diadakan bagi tahun 2013 sebagai  usaha berterusan  perpustakaan untuk menjadikan warga UiTMT sebagai warga membaca disamping melaksanakan penambahbaikaan perkhidmatan perpustakaan.

Buku-buku rujukan yang disediakan bersempena dengan program ini  adalah bacaan ringan seperti novel, bacaan umum merangkumi bidang motivasi, institusi keluarga, masakan, keagamaan, biography dan koleksi majalah. 

Khamis, 14 Mac 2013

Ramah Mesra Bersama Murid Istimewa@ Sinar Harian


Satu Potret Buat Kenang-Kenangan



Salam Perpisahan buat Nor Azrina Hasbullah

Tanggal 13 Mac 2013 merupakan tarikh akhir buat Nor Azrina Hasbullah atau lebih sinonim dengan panggilan Kak Na, berkhidmat di Perpustakaan Cendekiawan, UiTM (Terengganu) sebagai Pembantu Perpustakaan dan seterusnya akan menyambung perkhidmatan di Perpustakaan Tengku Anis, UiTM Kelantan Kampus Machang. Perpindahan beliau ke Kelantan merupakan satu kehilangan permata yang berharga buat Perpustakaan Cendekiawan. Seorang pekerja yang berdedikasi, komited dengan kerja dan kreatif. Selain cekap mengendalikan aplikasi SPSS, beliau mahir memberikan taklimat berkaitan dengan Online Databases. Satu kebolehan yang sangat membanggakan. Satu kejayaan besar beliau ialah apabila banting Maulidur Rasul yang telah direkabentuk hasil idea kreatif beliau telah menaikkan nama Perpustakaan Cendekiawan sebagai Pemenang Anugerah Sepanduk Terbaik hasil kerjasama Pok Ya. Kami sangat-sangat berbangga mempunyai staf yang begitu lain daripada yang lain. Kami bertambah terharu, apabila beliau sempat mendedikasikan pantun buat kami semua di Perpustakaan Cendekiawan:

PANTUN KHAS BUAT SAHABAT HANDAI DI PERPUSTAKAAN CENDEKIAWAN..MISS U 4 EVER..))
Nukilan: Nor Azrina Hasbullah Azrina

Assalammualaikum pembuka bicara
Salam hormat buat TKP ,(PN.ANUAR AWANG)

Semoga sihat rakan2 semua
Mensyukuri nikmat Allah Taala

6 tahun berlalu sudah
Namun dilupa tidaklah mudah
Setiap detik menjadi sejarah
Terpahat dihati amatlah indah

Selamat datang mudahnya ungkapan
Paling payah salam perpisahan
Jika ada sebarang keiklafan
Jari disusun mohon kemaafan

Selamat tinggal wahai kawanku
Pertemuan dan perpisahan ketentuan Ilahi
Walau sekejap terpahat di memori
Wajah kalian akan sentiasa diingati
Gurau tawa yang tiada galang ganti
Dalam bekerja kita sentiasa bersatu hati
Susah payah bersama2 kita harungi
Dimanakah kanku cari ganti

Terima kasih wahai rakanku
Kerana memberi peluang menjadi sebahagian dari kamu
Ku tak pasti samada haruskah aku gembira atau terharu
Namun iringilah perpisahan ini dgn senyuman paling manismu

Dua tiga kuching berlari
Sambil mengejar mencari cik ti
Walau kemana jua kupergi
Perpustakaan Cendekiawan sentiasa terpahat di hati

SALAM PERPISAHAN , SEKIAN WASSALAM..

Isnin, 18 Februari 2013

Program Mesra Bersama Insan Istimewa



Pada 17 Februari 2013, Perpustakaan Cendekiawan, UiTM (Terengganu) dengan kerjasama Guru-guru Pendidikan Khas, SK Sultan Omar, Dungun dan Kelab Student's Knowledge and Technology Resources (SKATER) telah berjaya menganjurkan Program Mesra Bersama Insan Istimewa. Program ini telah melibatkan 57 orang pelajar Orang Kelainan Upaya (OKU) yang telah mengambil bahagian dalam pelbagai acara yang dipertandingkan.

Objektif sebenar penganjuran program ini adalah bertujuan:
1. Menggalakkan sikap prihatin dan rasa tanggungjawab warga UiTM (Terengganu) terhadap OKU
2. Memberi kesedaran di kalangan warga UiTM (Terengganu) bahawa OKU adalah sebahagian daripada anggota masyarakat
3. Memperlihatkan kebolehan, keupayaan dan kemahiran OKU supaya mereka juga mendapat kesaksamaan hak dan peluang untuk menjalani kehidupan seperti anggota masyarakat yang lain
4. Merapatkan hubungan kerjasama di antara warga UiTM (Terengganu) dengan warga pendidik untuk kebajikan murid Pendidikan Khas.

Berkisar tentang aktiviti yang dijalankan seperti Senamrobik 'Chicken Dance', Persembahan Dikir Barat Staf Perpustakaan Cendekiawan & Pelajar SK Sultan Omar, Sukaneka (Kerusi Berirama, Tiup dan Pecah Belon, Bawa Bola Ping Pong Dalam Sudu & Kutip Gula-gula), Gotong-royong di Taman Roselle, 'Puppet Show' & Pertandingan Mewarna telah mendapat sambutan yang hangat bukan sahaja di kalangan pelajar terlibat, bahkan daripada guru-guru dan ibu bapa yang hadir. Sebagai pengikat jalinan kerjasama di antara guru-guru SKSO dan Perpustakaan Cendekiawan, satu acara sukan antara staf telah diadakan. Pemberian 'goodies' kepada pelajar beserta penyampaian hadiah telah disempurnakan pada kemuncak program tersebut yang telah disampaikan oleh En. Aziz, YDP PIBG, Pn. Tuan Azlah Tuan Azam dan Pn. Anuar Awang, Timbalan Ketua Pustakawan. Program tamat jam 1.30 petang.
Senamrobik 'Chicken Dance'

Dikir Barat Staf Perpustakaan Cendekiawan

Gotong-Royong Di Taman Roselle

Dikir Barat Pelajar SK Sultan Omar

Pertandingan Mewarna

'Puppet Show'

Hadiah Untuk Pemenang


Rabu, 30 Januari 2013

Perutusan Amanat Tahun Baharu Naib Canselor UiTM 2013

RINGKASAN PERUTUSAN TAHUN BAHARU NAIB CANSELOR 2013
UNIVERSITI TEKNOLOGI MARA
 

Kepada seluruh warga UiTM yang saya hormati, berikut adalah ringkasan daripada Perutusan Tahun Baharu 2013 yang saya telah sampaikan di Dewan Agung Tuanku Canselor pada 30 Januari 2013. Harapan saya agar YBhg Dato’/Datin/Prof/Tuan/Puan dapat menjadikannya sebagai makluman dan panduan dalam merancang aktiviti pembangunan universiti bagi tahun ini.

Saya mulakan perutusan dengan mengimbau pencapaian kita di sepanjang tahun lalu dan penghargaan seikhlas hati saya kepada seluruh warga universiti di semua peringkat jawatan serta pelajar di atas pengorbanan dan sokongan yang tidak berbelah bagi dalam menjana aktiviti kecemerlangan universiti.

Bagi tahun 2013, saya inginkan perkara-perkara berikut diberi perhatian khusus dan ada yang memerlukan tindakan segera bagi terus memastikan universiti kita bertambah maju. Ini tidak bermakna banyak lagi perkara-perkara yang tidak disenaraikan di bawah tidak penting dan tidak perlu diberi perhatian sewajarnya.

1. Memperbanyakkan aktiviti yang boleh mengeratkan ukhwah Islamiah dan mengukuhkan tali persaudaraan. Jangan biarkan ideologi merenggangkan ikatan persaudaraan sesama kita. Elakkan daripada mencetus konflik sesama sendiri dalam kita bekerja setiap hari. Tanamkan sifat hormat-menghormati dan bekerjasama dalam satu keluarga.

2. Bahagian Hal Ehwal Akademik perlu melaksanakan proses pemetaan strategi, dan mengenal pasti model yang sejajar dengan hala tuju strategik UiTM, sebagai sebuah universiti komprehensif, yang berlandaskan sains dan teknologi, bersandarkan keusahawanan, dan berperanan memperkasa taraf sosio-ekonomi anak bangsa, melalui pelebaran akses di peringkat pengajian tinggi.

3. Setiap fakulti, kampus negeri dan cawangan, semua PTJ perlu meneruskan usaha sebagai pemudah cara dalam memberi khidmat kepada pelajar, warga akademik dan bukan akademik. Saya menitikberatkan peranan kita sebagai pemudah cara, dengan niat untuk membantu mereka yang berurusan dengan kita, sama ada di kaunter perkhidmatan atau dengan pegawai yang berkenaan.

4. Setiap penempatan staf perlu mengambil kira kepentingan keluarga, kecuali pensyarah di bawah Skim TPM, seperti yang dipersetujui semasa temuduga untuk skim tersebut. Pengambilan calon TPM memang dikhaskan untuk kampus cawangan. Ini termasuk juga pensyarah dan staf pentadbiran yang bersetuju untuk ditempatkan di mana-mana kampus cawangan semasa temuduga.

5. Tingkatkan penglibatan pensyarah dan staf muda dalam aktiviti di bahagian masing-masing.

6. Untuk terus berdaya saing, universiti kita tidak mampu untuk mempunyai kepimpinan yang tidak berkualiti, lantas pemimpin yang tidak menyumbang kepada pembangunan universiti dan bahagian masing-masing hendaklah diganti dengan mereka yang lebih layak.

7. Bagi staf yang tidak disahkan dalam jawatan selepas tiga tahun, mereka ini perlu dibuka laluan untuk meninggalkan universiti ini kerana telah gagal menjalankan amanah yang diberikan.

8. Bermula semester Jun ini, 30 peratus daripada bahan dan kaedah pengajaran haruslah menggunakan e-learning atau e-pembelajaran melalui konsep blended learning.

9. Pejabat InfoTech diminta menyediakan kemudahan yang perlu supaya perlaksanaan sistem e-learning bermula bulan Jun ini dapat dijalankan tanpa sebarang masalah.

10. Pensyarah yang terlibat dalam kaedah pengajaran melalui i-Learn, perlulah dilatih dalam menggubal bahan pengajaran, dan juga berinovasi dalam pengajaran dan pembelajaran.

11. Dalam menilai pengesahan jawatan dan kenaikan pangkat, pemilihan calon yang layak dinaikkan pangkat, keupayaan pensyarah memanfaatkan teknologi ICT, dan menggunakan kaedah blended learning dalam pembelajaran dan pengajaran akan meningkatkan merit mereka manakala umur tidak akan dijadikan faktor utama.

12. Penggunaan FaceBook dan Twitter dalam pengajaran dan pembelajaran juga amat digalakkan bagi meningkatkan keberkesanan penyampaian dan komunikasi antara pensyarah dan pelajar.

13. Semua warga amat maklum bahawa saya banyak berkomunikasi melalui FaceBook, Twitter, emel dan telefon dengan staf dan pelajar dan ingin ditegaskan bahawa janganlah ada yang risau dengan perkembangan tersebut. Saya tidak akan mengambil sebarang tindakan tanpa usul periksa.

14. Saya mengamalkan dasar pintu terbuka dan jika staf mahupun pelajar berhajat berjumpa saya di pejabat, datanglah pada pagi hari Jumaat. Namun saya sarankan agar berhubung terlebih dahulu dengan Pembantu Peribadi saya agar tidak berlaku sebarang pertindihan temujanji.

15. Dalam bidang penyelidikan pula, saya ingin melihat UiTM mencapai sekurang-kurangnya sasaran lima bintang dalam Skor MyRA. Oleh itu, setiap staf mestilah mendokumenkan pencapaian mereka dalam PRISMA.

16. Fakulti dan kampus juga perlu bersedia membuat anjakan bagi memastikan UiTM mencapai kedudukan yang membanggakan di bawah inisiatif SETARA dan D-SETARA. Saya minta supaya InQKA mengadakan self-audit exercise, sebagai persediaan ke arah usaha tersebut.

17. Saya juga mahukan semua fakulti terus berusaha untuk berada di peta dunia, melalui pelbagai cara dan kaedah. Jalinkan kerjasama dengan sekurang-kurangnya lima universiti ternama luar negara, di samping melantik pemeriksa luar dari kalangan profesor di universiti tersebut.

18. Fakulti juga perlu mengkaji secara mendalam punca terdapatnya graduan yang tidak berjaya mendapatkan pekerjaan.

19. Saya juga sarankan agar program yang kurang berdaya saing dijumud atau digabungkan. Langkah ini bagi memastikan kita hanya menawarkan program-program market-driven.

20. Fakulti juga boleh menggalakkan pelajar dan warga pensyarah untuk mengenal pasti rakan industri, sejak awal lagi, seterusnya menjalin hubungan akrab dengan mereka, termasuklah dengan mendapatkan kerjasama daripada ahli keluarga atau teman-teman yang berada dalam industri.

21. Kita kini mengikut jejak KPT melalui perbelanjaan berhemat. Fakulti dan kampus perlu lebih agresif dalam menjana sumber kewangan bagi menampung keperluan masing-masing. Sehubungan itu, permohonan pembiayaan yang diluluskan kepada PTJ akan dikira sebagai pinjaman, dan perlu dibayar balik oleh PTJ berkenaan.

22. Sebuah unit akan ditubuhkan di peringkat pusat untuk membantu fakulti dan kampus mencari peluang perniagaan bagi menjana sumber kewangan, yang juga boleh digunakan untuk membiayai aktiviti fakulti di peringkat dalam dan luar negara.

23. Kita juga akan mengkaji semula nisbah sumbangan staf bagi projek perundingan kerana projek-projek ini banyak melibatkan kos tersembunyi, seperti penggunaan kemudahan, ruang dan sumber tenaga universiti.

24. Bagi menjana kewangan universiti, saya juga mahukan setiap profesor mendapatkan dana sebanyak RM10,000 setiap tahun.

25. Kita telah mengambil langkah awal dengan mewujudkan SBU, termasuklah Bahagian Percetakan, InED, INTEC, dan UiTM Press. Oleh itu, saya harap seluruh warga universiti akan memberi sokongan penuh kepada entiti ini untuk menjana sumber kewangan.

26. HEA perlu mengambil langkah lebih agresif bagi menambah tabungan dalam Dana Kecemerlangan.

27. Saya juga mengucapkan syabas kepada warga UiTM yang membuat amal jariah melalui potongan gaji untuk disalurkan kepada pelbagai bahagian dan unit di UiTM. Semoga Allah SWT sentiasa merahmati tuan-puan serta keluarga. Marilah kita sama-sama terus membudayakan amalan berkongsi rezeki di tempat kita mencari rezeki dan mengamalkan nilai-nilai dermawan.

28. Pada tahun ini saya mahu tumpuan diberikan bagi mempertingkatkan keselesaan pelajar, baik semasa mereka berada di fakulti/kampus mahupun di kolej kediaman atau di penempatan luar kampus. Bahagian Hal Ehwal Pelajar haruslah turun padang bagi mengenal pasti isu-isu berkaitan keselesaan pelajar.

29. HEP juga perlu mempergiatkan usaha untuk memupuk minat keusahawanan dalam kalangan pelajar UiTM agar kita dapat terus mengekalkan prestasi kita sebagai universiti keusahawanan terunggul di negara ini.

30. YB Menteri Pengajian Tinggi dalam amanat beliau pada 29 Januari 2013 telah menyarankan agar ko-korikulum diletak di bawah seliaan pusat pengajian di mana pelajar berdaftar. Saya harap HEP dapat membuat persiapan bagi mematuhi saranan ini agar ko-kurikulum yang diikuti berhubung kait dengan apa yang dipelajari di fakulti.

31. Saya juga berhasrat untuk menggerakkan keseluruhan pelajar UiTM agar lebih menonjol dalam kegiatan dan program kemasyarakatan dan kesukarelawan agar mampu memberi impak kepada masyarakat dan negara.

32. Perjuangan kita untuk mengubah destini anak bangsa perlu diteruskan. Masih ramai lagi anak bangsa yang perlu dibantu – di pinggir desa dan di pedalaman, di Sabah, di Sarawak, dan di serata ceruk rantau Semenanjung Malaysia. Saya amat memerlukan bantuan tuan-tuan dan puan-puan untuk bekerja lebih kuat bagi menambah tabungan dan membiayai anak-anak yang kurang bernasib baik ini. Saya amat memerlukan keprihatinan tuan-puan untuk memberi mereka peluang kedua, dan mengubah destini keluarga mereka.

33. Marilah kita sama-sama melahirkan kesyukuran atas tertubuhnya universiti ini sejak 57 tahun yang lalu dan mengenang serta membalas jasa pemimpin-pemimpin terdahulu dengan meneruskan aspirasi dan kebijaksanaan mereka demi keutuhan UiTM.

Sekian, terima kasih.

Dato' Sri Prof Ir Dr Sahol Hamid Abu Bakar FASc
Naib Canselor
 
Sumber: Dari ipadVC

Isnin, 28 Januari 2013

Majlis Kemuncak Bulan Inovasi UiTM (Terengganu) 2012/2013

Tukang Karut sedang berkarut
Alhamdulillah, program Majlis Kemuncak Bulan Inovasi UiTM (Terengganu) 2012/2013 dengan tema "Inovasi Pencetus Transformasi: Ke Arah Pemapanan Kualiti" melabuhkan tirainya dengan jayanya pada 27 Januari 2013. Apa yang membanggakan ialah persembahan Dikir Barat dari staf Perpustakaan Cendekiawan mengisi ruang pada majlis tersebut. Walaupun setahun jagung, namun bakat yang ditunjukkan jelas membuktikan bahawa mereka telah berusaha keras dalam menjayakan persembahan tersebut. Rentetan daripada persembahan sewaktu program Perpustakaan Bergerak 2012 di Ruang Legar Pejabat Penyelidikan, Jaringan Industri & Alumni (PJI& A), telah membuka mata warga UiTM Terengganu khususnya bahawa staf perpustakaan tidak hanya pandai menyusun buku sahaja, malah mampu berdikir. Apa yang melucukan ialah apabila tukang karutnya cuba berdialek kelantan tetapi lain bunyinya bila bercampur dengan dialek terengganu. Ada juga suara-suara yang mengusik kedengaran, " Ini bukan dikir barat, ni persembahan maharaja lawak mega". Walaupun kata-kata tersebut dianggap sebagai usikan, tetapi ia tetap menghiburkan. Terima kasih juga kepada Pn. Fatimah Yusof, Pembantu Perpustakaan Tingkatan Kanan yang begitu kreatif menghasilkan bait-bait lirik yang sesuai sempena majlis tersebut.
Persembahan Dikir Barat oleh Staf Perpustakaan
Awak-awak bersemangat berdikir
Kepada penerima Anguerah Khidmat Cemerlang, Pn. Rosidah Mohamad (Pembantu Perpustakaan) dan En. Syahril Hisyam Abu Bakar (Pembantu Perpustakaan), tahniah diucapkan dan semoga prestasi yang cemerlang dapat dikekalkan secara berterusan. Tidak ketinggalan juga, tahniah juga diucapkan kepada Kumpulan C7 di atas kejayaan mengharumkan nama UiTM (Terengganu) kerana telah berjaya sampai ke peringkat akhir di Konvensyen KIK Peringkat UiTM yang telah diadakan di Bukit Gambang Resort City dan telah berjaya merangkul Anugerah Khas Rektor UiTM Pahang. Tidak dilupakan juga buat Pn. Widawati Ariffin (Pembantu Perpustakaan), Cik Rahamah Abdul Ghafar (Pustakawan) dan Cik Selamah Md. Yunos (Pustakawan Kanan), kerana masing-masing telah berjaya menjadi salah seorang pemenang bagi Kuiz Maya & Pantun Maya. Tahniah sekali lagi diucapkan!
En. Syahril Hisyam bersalaman dengan Rektor UiTM (T) sebaik menerima hadiah




Pemenang Kuiz Maya menerima hadiah kemenangannya
Ketua Kumpulan C7 menerima hadiah penghargaan daripada Rektor UiTM (T)